Menteri Pertahanan Khaled Nordin menegaskan Malaysia tidak akan terperangkap dengan taktik untuk melengahkan tuntutan kerajaan walaupun sedia berbincang.
PETALING JAYA: Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata syarikat pembekal peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) memohon mengadakan perbincangan berhubung isu tuntutan RM1.06 bilion susulan pembatalan perolehan untuk tentera laut.
Khaled berkata, pihak kementerian tidak mahu sebarang perbincangan dijadikan alasan atau taktik untuk melengah-lengahkan proses tuntutan yang sedang dilaksanakan.
“Pihak syarikat ada memohon untuk berbincang dengan kita. Tapi, walaupun kita kata boleh berbincang, kita tidak mahu ia dijadikan sebagai satu taktik untuk melengah-lengahkan proses tuntutan yang dibuat sebelum ini.
“…. dan kita sentiasa sedar dan berwaspada jika ada apa-apa taktik sedemikian yang digunakan supaya kita tidak terperangkap,” katanya menurut Bernama selepas menghadiri Program Ilmiah Keagamaan Masyarakat (Pikat di Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi.
Sebelum ini, kerajaan Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM itu berserta sistem pelancarnya atas faktor keselamatan.
Menurut laman sesawang syarikat Kongsberg Defence and Aerospace (KDA), perolehan peluru berpandu NSM dimeterai antara tentera laut dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal tempur pesisir (LCS) baharu.
Susulan itu, Malaysia menuntut RM1.06 bilion daripada syarikat KDA ekoran pembatalan NSM yang merangkumi tuntutan langsung sebanyak EUR129.86 juta (RM604 juta), iaitu bayaran yang sudah dibuat kerajaan.
Beliau berkata, tuntutan tidak langsung adalah sebanyak EUR96.26 juta (RM448.12 juta), yang membabitkan implikasi kos dan kesan sampingan akibat kegagalan pembekalan sistem peluru berpandu berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Khaled berkata pasukan penilai yang terdiri daripada pegawai tentera laut telah ditubuhkan bagi mengenal pasti sistem peluru berpandu terbaik dari empat negara bagi menggantikan sistem NSM buatan syarikat KDA daripada Norway.
“Ya … sedang dibuat dan kita memang nak supaya dapat dievaluasi segera,” katanya ringkas.
Pada 28 Jun, Khaled dilaporkan berkata kementerian mengenal pasti empat negara berpotensi membekalkan sistem NSM untuk LCS susulan pembatalan perolehan oleh Norway.
Beliau berkata, negara yang menjadi pertimbangan ialah Turki dan Korea Selatan, selain dua lagi di Eropah.

