Tambahan kuota 100 liter sebulan di bawah BUDI Diesel itu mengambil kira keperluan penggunaan diesel lebih tinggi dalam kalangan pemilik kenderaan, termasuk untuk perniagaan kecil, kata Kementerian Kewangan. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA: Hampir 200,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip menerima tambahan kuota 100 liter sebulan di bawah BUDI Diesel, menjadikan jumlah had kelayakan mereka meningkat kepada 300 liter sebulan bermula Julai ini.
Dalam kenyataan, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, ia membabitkan lebih 174,000 warganegara di Semenanjung Malaysia dan lebih 22,000 warganegara di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan setakat 4 Julai.
Katanya, tambahan itu dilakukan dengan mengambil kira keperluan penggunaan diesel lebih tinggi dalam kalangan pemilik kenderaan berkenaan.
“Ia termasuk untuk kegunaan perniagaan kecil dan sederhana serta pergerakan ke kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya, lapor Bernama
Dalam pada itu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dalam kenyataan sama, berkata kemudahan tambahan itu juga membantu pemilik kenderaan untuk mengurus keperluan diesel bulanan mereka.
Katanya, kerajaan memahami bahawa penggunaan kenderaan itu bukan hanya untuk perjalanan harian tetapi untuk mencari rezeki dan mengurus keperluan keluarga.
“Sebab itu, kemudahan tambahan 100 liter ini disediakan. Harapan kita, kemudahan tambahan ini dapat membantu mereka mengurus keperluan diesel bulanan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata kerajaan turut meneliti maklum balas rakyat berhubung penggunaan kenderaan diesel milik ahli keluarga terdekat atau kenderaan yang belum dikemas kini rekod pemilikannya.
Bagi kenderaan diesel persendirian individu yang digunakan oleh ahli keluarga terdekat yang berbeza daripada pemilik berdaftar, penerima asal BUDI Diesel boleh membuat permohonan pemindahan kelayakan melalui portal rasmi BUDI Madani, tertakluk kepada syarat dan pengesahan yang ditetapkan.
Sebagai alternatif, pengguna sebenar kenderaan diesel juga boleh mengemas kini rekod pemilikan kenderaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kerajaan telah melaksanakan pengecualian fi tukar hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan mulai 1 Julai 2026 bagi memudahkan urusan tersebut.
“Penambahbaikan ini menunjukkan bahawa pelaksanaan BUDI Diesel akan terus dipantau dan disesuaikan berdasarkan maklum balas rakyat, supaya manfaat subsidi sampai kepada penerima yang layak tanpa membuka ruang kepada ketirisan dan penyeludupan,” katanya.
Pemilik pikap dan jip diesel yang ingin memohon penambahan 100 liter sebulan dan pemindahan kelayakan BUDI Diesel, boleh berbuat demikian melalui portal BUDI Madani di www.budimadani.gov.my.
Selain itu, Amir Hamzah berkata portal itu menerima lebih 2,000 permohonan pemindahan kelayakan BUDI Diesel.
Katanya, sejak pelaksanaan akses awal BUDI Diesel pada 27 Jun 2026 hingga 4 Julai, lebih 336,000 transaksi diesel direkodkan, membabitkan pembelian 12.6 juta liter diesel bersubsidi, dengan lebih RM23 juta subsidi ditanggung oleh kerajaan Madani.
“Jualan ini merangkumi pembelian diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter semasa akses awal dan RM2.10 seliter sejak pelaksanaan penuh BUDI Diesel pada 1 Julai 2026.
“Subsidi bersasar merupakan manfaat kerajaan untuk rakyat Malaysia yang layak.
“Pada masa yang sama, penyasaran subsidi penting bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan bantuan tidak disalah guna oleh pihak yang tidak layak,” katanya.


