Kerajaan peruntuk RM15 bilion untuk salur bantuan SARA dan STR yang memanfaakan sembilan juta penerima .
KUALA LUMPUR: Tekanan kos sara hidup terus menjadi kebimbangan rakyat susulan ketidaktentuan ekonomi global dan konflik Asia Barat yang menjejaskan harga makanan, pengangkutan serta pelbagai barangan keperluan harian.
Bagi penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria di Pantai Dalam, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bukan sekadar bantuan tambahan sebaliknya sokongan yang membolehkan mereka membeli barangan keperluan serta mengurus perbelanjaan harian.
Siti Fasihah Hamid.
Siti Fasihah Hamid, 42, berkata SARA membantu keluarganya mendapatkan barangan kering sebagai stok untuk perniagaan gerai makan diusahakannya sejak hampir enam tahun lalu selepas kehilangan pekerjaan ketika pandemik Covid-19.
Dia yang turut mengikuti perkembangan di Asia Barat berkata bantuan SARA memberi sedikit kelegaan dan menyifatkannya sebagai antara usaha kerajaan membantu rakyat ketika ketidaktentuan ekonomi global masih berlanjutan.
“Bantuan (SARA) yang kerajaan bagi…Alhamdulillah, syukur. Barang-barang macam sabun, pencuci dan barang kering memang boleh guna dan boleh pakai untuk jangka masa tertentu.
Najwa Farhana Noorhisham.
Suri rumah, Najwa Farhana Noorhisham, 34, pula berkata bantuan STR mengurangkan kebergantungan keluarganya kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu.
“Kalau ikutkan (STR) ini membantulah juga dan tak adalah macam sebelum ini semua 100% mengharapkan gaji suami,” katanya.
Najwa berkata, proses permohonan bantuan kini lebih mudah kerana dilaksanakan secara dalam talian.
“Kita hanya perlu mengisi permohonan dan menunggu keputusan. Kalau layak, dapatlah,” katanya.
Ketika membentangkan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan RM15 bilion diperuntukkan bagi STR dan SARA tahun ini yang dijangka memanfaatkan sembilan juta penerima.
Walaupun peruntukan itu diumumkan sebelum konflik di Asia Barat memuncak, bantuan itu kini menjadi lebih bermakna kepada penerima yang berdepan peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global.
T Kalai Vethan.
Sementara itu, pekerja kurier T Kalai Vethan, 29, berkata bantuan SARA diterimanya melalui kategori bujang memudahkannya membeli keperluan asas di kedai berdaftar bawah Rakan Niaga SARA.
“SARA memang memudahkan urusan just beli barangan keperluan kerana boleh digunakan di kedai seperti 99 Speedmart, KK Mart dan kedai berhampiran rumah.
Rahmah Baharuddin.
“Bagi saya yang bujang, ia amat membantu kerana dapat menjimatkan perbelanjaan harian,” katanya.
Dalam pada itu, bagi warga emas, Rahmah Baharuddin, 75, berkata bantuan itu membolehkannya membeli keperluan asas selepas kematian suami ketika pandemik Covid-19.
“Dapatlah beli beras, minyak masak, sabun dan barang keperluan lain. Alhamdulillah, dapat kurangkan beban. Apa yang ada, kita syukurlah,” katanya yang kini menjalani rawatan berkala di Institut Jantung Negara.

