Bersama berharap dapat menampilkan 70% calon pilihan raya berusia bawah 50 tahun, dan 50% calon wanita.
PETALING JAYA: Parti Bersama Malaysia (Bersama) berharap dapat menampilkan 70% calon pilihan raya berusia bawah 50 tahun, termasuk pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“Yang tua jangan marah kerana masih ada 30% dan jumlah itu agak besar,” kata pemimpin Bersama, Rafizi Ramli, pada satu ceramah di Seremban, Negeri Sembilan semalam.
Sementara itu, Rafizi berkata partinya akan sedaya upaya menampilkan ramai calon wanita, dengan sasaran sebanyak 50%.
“Kita perlukan calon wanita yang berkelayakan dalam kalangan Melayu, Cina dan India, tampil ke depan dan jadi calon kami,” katanya, lapor Harian Metro.
Bersama, yang dilancarkan tiga minggu lalu, menarik penyertaan kira-kira 25,000 orang, kata Rafizi yang berharap dapat capai 50,000 dalam masa sebulan.


