Presiden Gerakan Dominic Lau, berkata PN akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi bincang persiapan menghadapi dua PRN itu termasuk agihan kerusi antara komponen.
KUALA LUMPUR: Fokus Gerakan ketika ini adalah memastikan Perikatan Nasional (PN) kekal bersatu menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Presiden Dominic Lau, berkata gabungan itu perlu mengutamakan usaha menghadapi dua PRN itu dan menyelesaikan sebarang cabaran dalaman menerusi perbincangan.
“Kita masih berada dalam PN dan keutamaan sekarang adalah memastikan gabungan ini kekal bersama serta tidak berpecah.
“Kita mahu menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan dengan kelebihan yang terbaik. Kelebihan terbesar ialah apabila semua pihak berada dalam satu pasukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan di Menara PGRM, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, PN akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi membincangkan persiapan menghadapi dua PRN tersebut, termasuk agihan kerusi antara komponen.
Dominic berkata, Gerakan ada mencadangkan untuk bertanding lima hingga enam kerusi untuk PRN Johor, namun keputusan muktamad akan dibuat Majlis Tertinggi PN.
Katanya, Gerakan tidak berminat bertanding banyak kerusi sekiranya peluang kemenangan rendah.
“Kita mahu bertanding di kerusi yang boleh dimenangi. Bukan bertanding banyak kerusi, tetapi akhirnya kalah semua,” katanya.
Menurutnya, Jawatankuasa Pusat Gerakan turut memberikan mandat kepada kepimpinan parti dan wakilnya dalam PN untuk membuat keputusan difikirkan terbaik demi kepentingan parti serta gabungan itu.
Selasa lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menegaskan partinya akan terus kekal dalam PN dan menggunakan logo gabungan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Sebelum itu, Presiden PAS Hadi Awang dan Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata terpulang kepada Bersatu sama ada mahu kekal atau keluar gabungan, selepas parti berkenaan memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.
Pada 1 Jun, Pengerusi PN Johor Sahruddin Jamal turut menegaskan gabungan itu akan bergerak bersama menghadapi PRN Johor walaupun terdapat perbezaan pandangan antara komponennya.


