Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang sebelum ini duduk di sebelah Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengesahkan sudah menerima surat makluman yang mengesahkan kedudukan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang.
Berdasarkan laman sesawang Parlimen, Hamzah akan ditempatkan di tempat duduk asal di Blok G selaku ketua pembangkang, bersebelahan Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Menurut Johari, sesi Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan turut menyaksikan beberapa pertukaran tempat duduk Ahli Parlimen.
Ditanya sama ada perubahan itu akan turut membabitkan tempat duduk Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, beliau mengesahkannya atas permintaan Ahli Parlimen Pagoh itu sendiri.
“Saya sudah terima surat yang mengesahkan Hamzah sebagai ketua pembangkang dan beberapa pertukaran tempat duduk Ahli Parlimen…. itu sahaja,” katanya, menurut Berita Harian.
Muhyiddin yang sebelum ini duduk di sebelah Hamzah dipindahkan ke Blok E bersebelahan Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Sebelah Ahmad Samsuri pula adalah tempat duduk Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, diikuti Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dipecat daripada Bersatu pada Februari lalu sebelum kedudukan beliau selaku ketua pembangkang mencetus pertikaian.
Susulan itu, gabungan pembangkang melalui PN melantik Ahmad Samsuri menggantikan hamzah.
Jawatan itu kemudiannya diberikan semula kepada Hamzah dengan persetujuan 43 Ahli Parlimen PAS dan 19 Ahli Parlimen pembangkang yang menyokong beliau terus kekal sebagai ketua pembangkang.
Perkara itu diumumkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika Konvensyen Reset Malaysia di Kelantan baru-baru ini, yang turut menyaksikan Hamzah mengumumkan pembentukan parti baharunya iaitu Parti Wawasan Negara (Wawasan) .

