Kilang penapisan di Malaysia tidak dapat beroperasi seperti biasa jika belakan minyak mentah gagal melepasi Selat Hormuz. (Gambar Petronas)
PETALING JAYA: Walaupun harga RON95 di Malaysia kekal RM1.99 seliter hasil subsidi kerajaan, harga minyak mentah dunia sebenarnya terus tidak menentu sejak konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran tercetus lebih 100 hari lalu.
Ketika perang memuncak, harga minyak pernah melepasi USD140 setong dan walaupun kini menurun, ia masih lebih tinggi berbanding sebelum konflik bermula.
Pada 15 Jun lalu, Washington dan Tehran menandatangani satu lagi perjanjian damai. Namun, pakar berpendapat keadaan masih belum stabil dan harga minyak berpotensi meningkat semula.
Berikut antara sebab utama harga minyak dunia masih belum stabil.
1. Gencatan senjata tidak bermakna keadaan kembali normal
Pada April lalu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan gencatan senjata dengan Iran. Pengumuman itu menyebabkan harga minyak turun dan ramai menyangka krisis akan mula reda.
Namun, hakikatnya serangan masih berlaku walaupun gencatan senjata diumumkan.
Lebih penting, laluan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz masih belum pulih sepenuhnya.
Selat Hormuz boleh diibaratkan sebagai lebuh raya minyak paling sibuk di dunia, kerana sebelum perang, kira-kira 20% bekalan minyak dunia melalui laluan ini.
Kini, kapasiti penghantaran di laluan itu dianggarkan hanya sekitar 10% daripada tahap biasa, malah mungkin lebih rendah. Ini bermakna minyak memang masih ada, tetapi sukar dihantar kepada pembeli.
Apabila minyak tidak dapat keluar dari Teluk Parsi, ia tidak dapat sampai ke kilang penapisan di Malaysia dan negara lain. Tanpa penapisan, minyak tidak boleh ditukar menjadi petrol, diesel atau bahan api pesawat.
Walaupun perjanjian damai terbaru dianggap satu perkembangan positif, rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran masih perlu diteruskan selama 60 hari lagi. Tidak ada jaminan perjanjian itu akan kekal.
Malah, Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA) menjangkakan trafik penghantaran di Selat Hormuz hanya akan kembali normal sekitar awal 2027.
2. Pengeluaran minyak dunia turut merosot
Masalah kedua ialah jumlah minyak dihasilkan kini lebih rendah berbanding sebelum konflik.
Peperangan bukan sahaja mengganggu laluan penghantaran, malah menjejaskan kemudahan pengeluaran minyak dan gas.
Sepanjang lebih 100 hari konflik, pelbagai kemudahan tenaga di rantau itu telah diserang, menyebabkan kerugian dianggarkan mencecah USD60 bilion.
Antara yang terjejas ialah:
Sesetengah kemudahan telah kembali beroperasi sebahagiannya tetapi ada juga masih belum pulih.
3. Pengeluaran minyak tidak boleh dipulihkan serta-merta
Sesetengah pengeluar menghentikan operasi kerana minyak dihasilkan tidak dapat dihantar keluar.
Namun, industri minyak tidak semudah menekan suis; pengeluaran yang terhenti tidak boleh dihidupkan semula dengan cepat.
Medan minyak dan kilang penapisan memerlukan aliran minyak yang berterusan serta tekanan yang stabil.
Apabila operasi terhenti selama berbulan-bulan, masalah teknikal boleh berlaku. Minyak yang terlalu lama tidak bergerak boleh menjadi pekat dan menyumbat saluran, manakala peralatan yang terbiar perlu diperiksa dengan teliti sebelum selamat digunakan semula.
Menurut EIA, sesetengah negara pengeluar di sekitar Teluk Parsi mungkin tidak mampu mengembalikan pengeluaran ke tahap sebelum konflik sehingga penghujung 2027.
Ini menunjukkan kesan kerosakan yang berlaku bukanlah masalah sementara.
4. Dunia kini bergantung simpanan minyak yang makin susut
Setakat ini, harga minyak belum melonjak terlalu tinggi kerana banyak negara masih menggunakan stok simpanan lama untuk menampung kekurangan bekalan.
Keadaan ini seperti sebuah keluarga yang hilang pendapatan tetapi masih berbelanja menggunakan wang simpanan.
Pada awalnya semuanya kelihatan normal, namun lama-kelamaan simpanan itu akan susut dan akhirnya habis.
Menurut ahli ekonomi Geoffrey Williams, simpanan minyak global kini berada pada paras yang sangat rendah dan semakin sukar untuk mendapatkan bekalan tambahan.
Beliau memberi amaran jika Selat Hormuz tidak dibuka semula dengan segera, dunia mungkin berdepan satu lagi lonjakan harga minyak sehingga antara USD120 dan USD150 setong.
5. Apakah kesan kepada rakyat Malaysia?
Malaysia setakat ini masih terlindung daripada kesan paling buruk krisis tersebut.
Melalui program Budi Madani RON95 (BUDI95), rakyat yang layak masih menikmati harga pada kadar RM1.99 seliter.
Namun, semakin lama harga minyak dunia kekal tinggi dan laluan penghantaran terus terganggu, semakin besar kos perlu ditanggung kerajaan untuk mengekalkan subsidi terbabit.
Selain petrol, banyak barangan lain turut bergantung kepada harga minyak mentah, termasuk:
Sebab itu, kesan kenaikan harga minyak biasanya akan muncul secara perlahan-lahan dalam bentuk kenaikan harga barangan keperluan harian dan kos sara hidup.
Perlukah rakyat bimbang?
Buat masa ini, tiada keperluan untuk panik, tetapi pengguna disaran berbelanja secara berhemah.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah berkata kadar inflasi Malaysia masih berada dalam julat sasaran 1.5% hingga 2.5% bagi tahun ini, malah lebih rendah daripada unjuran inflasi global sebanyak 4.3%.
Menurut beliau, inflasi negara setakat ini berjaya dikekalkan sekitar 1.9%, walaupun tekanan kos akibat kenaikan harga minyak dan bahan mentah masih wujud.
Sementara itu, penasihat kanan ekonomi kepada Pejabat Perdana Menteri Nurhisham Hussein berkata Petronas mempunyai stok bahan api yang mencukupi sehingga Julai dan persiapan untuk bekalan bulan Ogos juga sedang dilakukan.
Kesimpulan
Buat masa ini, kebanyakan rakyat Malaysia masih menikmati harga petrol yang stabil, subsidi kerajaan masih berfungsi dan bekalan bahan api negara dijamin untuk beberapa minggu akan datang.
Namun, keadaan itu tidak bermaksud krisis telah selesai.
Harga minyak dunia masih berisiko meningkat semula jika rundingan damai gagal, laluan Selat Hormuz terus terganggu atau pengeluaran minyak dunia tidak pulih seperti yang diharapkan.
Ringkasnya, keadaan masih terkawal tetapi krisis tenaga dunia belum benar-benar selesai.

