KKM mengalu-alukan kepulangan doktor pakar warganegara Malaysia yang berkelayakan dari luar negara. (Gambar Magnific)
KUALA LUMPUR: Majlis Perubatan Malaysia (MPM) mendaftarkan sebanyak 854 pengamal perubatan berkelulusan luar negara sebagai doktor pakar tempatan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.
Daripada jumlah itu, sebanyak 849 ialah rakyat tempatan, dengan 87% atau 741 permohonan pendaftaran pakar tersebut diluluskan dalam tempoh singkat, iaitu tiga bulan atau kurang.
“Kementerian Kesihatan sentiasa mengalu-alukan kepulangan doktor pakar warganegara Malaysia yang berkelayakan dari luar negara kerana mereka aset penting dalam sistem kesihatan negara.
“Komitmen ini diterjemahkan melalui proses pendaftaran pakar yang terbuka kepada semua pemohon yang memenuhi keperluan pendaftaran seperti di dalam Akta Perubatan (Akta 50) serta Peraturan Perubatan,” katanya.
Dzulkefly berkata demikian pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat, menjawab soalan Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) mengenai isu pendaftaran doktor pakar berkelulusan luar negara ke dalam Daftar Pakar Kebangsaan.
Beliau berkata pindaan kepada Akta 50 yang diluluskan pada 2024 langkah penting dalam memperkemas, memperjelas dan memperkukuh proses pendaftaran pakar serta pengiktirafan program latihan kepakaran.
Melalui pindaan itu, beberapa isu yang menjadi pertikaian diselesaikan, antaranya pengiktirafan bagi patologi genetik dari Universiti Sains Malaysia (USM) serta pakar kardiotorasik melalui program laluan selari (parallel pathway) dengan kelayakan Fellowship of the Royal College of Surgeons of Edinburgh (FRCS Edinburgh), United Kingdom, yang berjaya didaftarkan selepas melalui proses penilaian.
Beliau berkata keperluan memiliki kelayakan dalam Jadual Keempat Akta Perubatan antara syarat penting bagi pendaftaran pakar, namun ia tidak menjadikan pendaftaran berlaku secara automatik.
Sebaliknya, MPM masih perlu menilai sama ada pemohon memenuhi semua syarat bawah Seksyen 14 Akta 50 termasuk melengkapkan latihan kepakaran, mempunyai pengalaman kerja sebagai pakar yang memuaskan, kompeten serta berakhlak baik seperti yang termaktub di bawah akta sama.
Tempoh pemprosesan bagi setiap permohonan berbeza, bergantung kepada tahap kelengkapan dokumen dikemukakan pemohon, termasuk keperluan mendapatkan pengesahan kelayakan, menyempurnakan latihan kepakaran serta bukti pengalaman kerja daripada institusi latihan, majikan atau pihak berkuasa berkaitan di luar negara.
Beliau berkata kerajaan akan terus berusaha mengubah trend ‘brain drain’ kepada ‘brain gain’, termasuk beberapa kes melibatkan pakar dari United Kingdom dan Australia yang ingin kembali berkhidmat di Malaysia.


