Parti Cinta Malaysia (PCM) yang kini dikenali sebagai Parti Wawasan Negara (Wawasan) diterima masuk bersama Pejuang ke dalam PN. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR: Keputusan menerima kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM), yang kini dikenali sebagai Parti Wawasan Negara (Wawasan), ke dalam Perikatan Nasional (PN) dibuat secara undian dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu, semalam.
Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Sanusi Nor yang bagaimanapun enggan mengulas bantahan Bersatu terhadap kemasukan parti berkenaan kerana perkara itu sudah diputuskan di peringkat tertinggi gabungan.
Sanusi Nor.
“Itu saya tak nak ulas. Bukan locus standi saya untuk jawab sebab sudah diputuskan dalam mesyuarat MT PN dengan undian majoriti.
“Saya tak mahu jawab apa-apa. Itu terserah kepada pandangan Bersatu. Saya buat mesyuarat pembahagian kerusi PN sahaja, semua ok,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN bagi menghadapi PRN Johor di Pejabat Agung PAS.
Terdahulu, Bersatu membantah kemasukan Wawasan ke dalam PN dengan mendakwa permohonan parti itu tidak teratur dan boleh menambah masalah dalaman gabungan berkenaan.
Wawasan adalah penjenamaan semula PCM. Menurut presidennya, Hamzah Zainudin, penjenamaan semula itu diluluskan dalam mesyuarat khas perwakilan Sabtu lalu.
Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata bantahan dibuat kerana PN masih berdepan masalah antara parti anggota selepas PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Beliau turut mendakwa permohonan PCM untuk menyertai PN tidak teratur.


