Dua anggota dari 4 RRD cedera ketika sesi latihan tembakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Tentera darat menubuhkan lembaga siasatan bagi menyiasat punca insiden kemalangan semasa latihan di Kem Hobart di Gurun, Kedah yang menyebabkan dua anggota cedera ketika sesi latihan tembakan.
Tentera darat menutup sementara lapang sasar bagi tujuan siasatan, dan akan memastikan aspek keselamatan serta tatacara operasi standard latihan sentiasa diutamakan.
“Tentera darat memohon kerjasama agar semua pihak, khususnya orang awam dan pengguna media sosial, tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan serta menghormati privasi anggota yang terlibat dan keluarga mereka,” menurut kenyataan.
Menerangkan kejadian, tentera darat berkata kemalangan berlaku semasa latihan peningkatan tempur di lapang sasar pada 6.15 petang, semalam.
Kejadian melibatkan dua anggota dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja. Mereka diberikan rawatan kecemasan awal di lokasi oleh pegawai perubatan tentera, dan kemudian dikejarkan ke Hospital Sik. Keadaan semasa kedua-dua anggota adalah stabil.
“Sarjan Mohamad Firdaus Che Shaharudin menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang ke pasukan, manakala Koperal Felix Franchis kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani,” menurut kenyataan.
Menurut tentera darat, kejadian berlaku apabila senjata yang dikendalikan oleh dua anggota berkenaan tersangkut dan tidak meletup. Mereka melaksanakan tindakan segera mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan bagi menangani situasi berkenaan.
“Bagaimanapun, satu letupan telah berlaku secara tiba-tiba mengakibatkan kedua-dua anggota mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terkena serpihan,” katanya.
