Pengarah SPRM Selangor Mohd Azwan Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa kerana disyaki meminta rasuah kira-kira RM50,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat yang memiliki kenderaan tidak berdaftar.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30an itu ditahan kira-kira 5 petang semalam di sekitar Lembah Klang.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 23 Jun lepas dan meminta wang rasuah RM50,000 untuk menutup kes syarikat tersebut.
“Namun, suspek bersetuju untuk menerima wang rasuah secara tunai sebanyak RM15,000 setelah diminta mengurangkan bayaran daripada RM50,000,” katanya, lapor Bernama.
Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini membenarkan permohonan SPRM agar suspek direman tiga hari bermula hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Mohd Azwan Ramli yang mengesahkan penahanan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


