Naimah Khalid menafikan terbabit dalam percubaan mengganggu kestabilan kerajaan serta menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘pembohongan terbesar dan tidak masuk akal’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Balu bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, Naimah Khalid dan anaknya dipercayai berada di Eropah ketika ini, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, polis giat mengesan Naimah bersama dua anak lelakinya, Amir dan Amin Zainuddin Daim bagi membantu melengkapkan siasatan berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan.
“Berdasarkan maklumat risikan dan semakan awal pihak berkuasa, subjek berkenaan dipercayai berada di luar negara, khususnya di benua Eropah.
“Polis melalui Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Biro Pusat Nasional Interpol Kuala Lumpur sedang
bekerjasama rapat untuk mengesan lokasi sebenar mereka,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong).
Saifuddin berkata, polis bertindak mengikut undang-undang tanpa prejudis atau agenda terpilih demi memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.
Awal tahun ini, Naimah menafikan sebarang pembabitan dalam percubaan mengganggu kestabilan kerajaan serta menyifatkan dakwaan itu sebagai “pembohongan terbesar dan tidak masuk akal”.
Bukit Aman kemudian berkata, polis berusaha menghubungi Naimah bagi membantu siasatan berhubung dakwaan komplot untuk menjatuhkan kerajaan, dengan mengambil keterangan 17 saksi.
Peguam Naimah menegaskan, wanita itu bersama anak lelakinya masih boleh dihubungi sepenuhnya oleh polis dan terus memberi kerjasama dalam siasatan “melalui peguam mereka”.

