Manifesto Pakatan Harapan untuk PRN Johor dilancarkan oleh pemimpin PN pada Jumaat lalu.
PETALING JAYA: Manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) dirangka daripada proses libat urus, kajian dan maklum balas daripada rakyat Johor, kata naib presiden PKR, yang menjawab dakwaan PH meniru janji pilihan raya Barisan Nasional (BN).
Roland Engan berkata tuduhan seperti yang dibuat oleh Khairy Jamaluddin daripada Umno itu bertujuan mengalihkan perhatian daripada perdebatan yang lebih penting.
Katanya, manifesto PH dibina melalui proses libat urus yang mendalam, kajian keperluan rakyat, dan maklum balas daripada pelbagai lapisan masyarakat di Johor.
“Apabila sesuatu manifesto itu lahir daripada keperluan rakyat, adalah perkara biasa jika fokus isu yang diketengahkan adalah sama dengan pihak lain seperti kos sara hidup, pembangunan ekonomi, atau kemudahan infrastruktur.
“Ini bukan bermakna ia ‘ciplak’, tetapi ia mencerminkan bahawa semua parti memahami masalah sebenar yang dihadapi oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Roland berkata manifesto itu juga bukanlah muncul secara tiba-tiba dan kebanyakan tawaran dikemukakan merupakan kesinambungan daripada komitmen yang pernah ditawarkan dan diperjuangkan sebelum ini.
“Konsistensi dalam menawarkan dasar yang sama membuktikan bahawa PH serius untuk melaksanakannya, berbanding menukar-nukar janji setiap kali pilihan raya tiba.
“Perbezaan utama bukan terletak pada apa yang ditawarkan, tetapi bagaimana ia akan dilaksanakan,” katanya.


